25 Hotel di Cameron Highlands yang selesa dan bersih untuk semua jenis bajet
Pilihan Terbaik: Hotel di Cameron Highland
👍 Hotel Kapsul untuk Pengembara Solo: Sleepbox Hotel, “Hotel ini menyediakan bilik asrama dan bilik air berkongsi untuk pengembara solo. Hiasan dalaman hotel ini amat cantik dan sarapan pagi juga ada disediakan”
👍 Hotel Strategik di Tengah Bandar: Hotel Rainbow, “Terletak strategik di antara barisan-barisan rumah kedai yang terdapat di Brinchang, tetamu tidak perlu risau tentang akses untuk mendapatkan segala kemudahan dan perkhidmatan”
👍 Apartment Hotel Sesuai untuk Keluarga: TULIP HOTEL & APARTMENT, “Hotel ini menawarkan 3 jenis unit pangsapuri yang sesuai untuk keluarga dan lengkap dengan fasiliti yang mesra kanak-kanak kecil dan warga emas.”
👍 Hotel Bulan Madu terbaik: Century Pines Resort Cameron Highlands, “Hotel betraraf 4 bintang ini dihias dengan glamor dan sesuai untuk pasangan berbulan madu.”
👍 Hotel Gaya Kotej yag Mewah: The Smokehouse Hotel & Restaurant Cameron Highlands, “Hotel ini menawarkan penginapan kotej dengan gaya Inggeris Tudor yang klasik dengan ciri-ciri kolonial yang mewah dan bertaraf tinggi.”
Artikel ini memberi panduan kepada anda dengan menyenaraikan kelebihan dan keunikan hotel-hotel yang disenaraikan dari yang murah ke yang mahal, yang standard ataupun bertema, yang dekat dengan Brinchang, yang terletak di Ringlet, yang privasi dan tidak bising, yang dekat dengan kebun teh, yang terletak di dalam kebun strawberi, pokoknya semua ada disenaraikan. Jadi kurang sedikitlah pening kepala apabila memilih nanti.
Hotel-hotel yang disenaraikan di sini adalah hasil carian dari aplikasi online terkenal dan boleh dipercayai seperti Booking.com, Agoda.com, Hotels.com dan banyak lagi. Jika anda mahu mencari satu-satu, memang memakan masa. Jadi biar kami memudahkan kerja anda dengan menyenaraikan hotel-hotel yang telah ditapis dan mendapat review terbaik berbanding hotel-hotel yang lain.
Jikalau anda sedang bercuti di Pahang, anda boleh juga melawati artikel seperti berikut:
Tempat seperti Cameron Highland memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ianya adalah destinasi percutian paling popular di Semenanjung Malaysia. Suasananya yang dingin dan mendamaikan, ladang teh yang hijau dan makanan yang segar memang menjadi trademark Cameron Highland. Kalau dah namanya popular, mencari hotel yang sesuai dengan selera bukannya mudah. Apatah lagi kalau musim cuti. Memang boleh pitam dibuatnya.
1. Sleepbox Hotel

SleepBox Hotel ini merupakan sebuah hotel kapsul. Jangan terkejut jika hotel ini merupakan destinasi pilihan utama golongan bagpackers dan pendaki-pendaki yang ingin menjelajah Mossy Forest yang sangat terkenal di Cameron Highland. Kepada pengembara solo ataupun yang datang dengan rakan-rakan, hotel ini dapat memenuhi naluri anda yang gemarkan cabaran.
Hotel ini terletak di tanah rata dan cuma lima minit berjalan kaki dari terminal bas. Ianya masih baru dibuka jadi peralatan dan kemudahan yang diberikan juga masih berfungsi dengan baik. Ianya menyediakan tiga jenis bilik yang mempunyai beberapa kiub didalamnya. Bilik-bilik yang ditawarkan adalah bilik asrama bercampur, bilik asrama wanita dan bilik keluarga. Kiub-kiub pula dilengkapi dengan katil spring, meja lipat, soket kuasa universal, kipas mini, plug USB dan loker.
Hotel ini mempunyai teres di luar dan ruang santai di dalam untuk tetamu berkumpul dan bergaul. Banyak juga pelancong dari negara lain menetap di sini. Liputan WIFI juga dapat diakses dari semua tempat. Sarapan pagi percuma turut disediakan. Selain itu, pada yang masih belum punya aktiviti, terdapat juga meja tempahan untuk anda menempah aktiviti dan menyewa motosikal.

- Harga – Dari RM 59 Semalaman.
- Alamat – 5-2 Marigold Square, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
2. Iris House Hotel

Iris House Hotel ini terletak kira-kira 5 minit berjalan kaki ke Brinchang. Ianya terletak bersebelahan jalan besar dan lokasinya berhampiran dengan Big Red Strawberry Farm. Hotel ini masih mengekalkan reka bentuk ciri inggeris pada exteriornya dengan dua cerobong asap terletak di bumbung.
Pada yang menginap di hotel ini, anda tidak perlu risau tentang akses untuk membeli keperluan dan makanan. Hotel ini di kelilingi dengan pelbagai jenis restoran yang menawarkan pelbagai jenis hidangan dari makanan segera, steamboat, makanan tempatan dan antarabangsa. Farmasi dan kedai serbaneka juga ada berdekatan.
Hotel ini menawarkan 3 jenis bilik tetamu iaitu bilik deluxe, bilik triple dan bilik quadrupel. Sesetengah bilik mempunyai balkoni yang memberikan pemandangan bukit yang cantik. Bilik-bilik yang ditawarkan lengkap dengan kemudahan standard dan bersih. Sarapan pagi percuma turut disediakan di bahagian teres hotel ini. Tetamu dapat menikmati bufet sarapan dengan gaya alfresco sambil menghirup udara pagi yang nyaman.

- Harga – Dari RM 76 Semalaman.
- Alamat – 56 Jalan Kuari , 39000 Cameron Highlands, Malaysia
3. Hotel BB Inn @ Cameron

Hotel BB Inn ini merupakan hotel bajet yang terletak di Tanah Rata. Hotel ini dihiasi dengan elemen dari budaya cina dengan penggunaan warna merah dan beberapa perhiasan dengan tulisan cina.
Hotel ini menawarkan 3 jenis bilik tetamu iaitu bilik standard, bilik triple dan bilik keluarga yang mendapat liputan WIFI. Walaupun bilik-bilik dihias secara asas dan dilengkapi dengan keperluan yang standard seperti kipas angin dan TV satelit dan bilik mandi yang mepunyai kemudahan pancuran air panas, ianya mendapat pujian daripada tetamu kerana kebersihannya.
Hotel ini tidak menyediakan sarapan pagi. Walaubagaimanapun lokasinya sangat strategik dan dikelilingi kedai makan – kedai makan yang menawakan makanan tempatan yang enak. Ia mempunyai kaunter penerimaan tetamu yang beroperasi 24 jam jadi tetamu boleh keluar masuk pada bila-bila masa.

- Harga – Dari RM 96 Semalaman.
- Alamat -No.79 Persiaran Camellia 4, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
4. Hotel Chua Gin

Hotel Chua Gin ini betul-betul terletak bersebelahan jalan besar di tengah-tengah bandar Brinchang. Ianya sebuah hotel bajet tetapi sangat selesa dan bersih. Pada yang sukakan suasana malam yang meriah. Hotel ini pilihan tepat buat mereka. Keluar sahaja dari hotel, tetamu akan berjumpa dengan medan selera, kedai makanan segera, kedai-kedai serbaneka dan macam-macam lagi.
Hotel ini menawarkan bilik tetamu iaitu bilik superior yang mempunyai liputan WIFI. Bilik superior yang disediakan dilengkapi dengan perabot yang ringkas dan asas, TV berskrin rata, cerek eletrik dan bilik mandi yang mempunyai pancuran air panas. Bilik yang berbalkoni adalah mahal sedikit berbanding bilik yang tiada balkoni. Semua bilik di sini mempunyai penunjuk kiblat bagi memudahkan tetamu muslim mendirikan solat.
Tetamu yang pernah menginap di hotel ini sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh pekerja hotel. Pekerja hotel ini membenarkan tetamu mendaftar masuk awal dari waktu yang ditetapkan tanpa bayaran tambahan. Ada juga tetamu bertuah yang menerima buah tangan seperti sayur-sayuran dari pihak hotel.
Kaunter meja depan hotel ini cuma beroperasi dari 8.00 pagi hingga 11.00 malam. Memandangkan ianya terletak kawasan yang agak sibuk, pintu hotel perlu ditutup awal bagi tujuan keselamatan. Kaunter tempahan lawatan turut disediakan untuk tetamu yang mahu menempah lawatan yang menarik hati mereka.

- Harga – Dari RM 107 Semalaman.
- Alamat – No 11 Main Road Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
5. Hotel Rainbow

Hotel Rainbow ini adalah sebuah hotel butik terletak di Brinchang. Ianya terletak betul-betul di sudut antara dua baris rumah kedai. Lokasi hotel ini amat strategik kerana ianya dikelilingi restoran-restoran, klinik, kedai serbaneka dan lokasi-lokasi menarik di sekitar Brinchang.
Hotel ini menawarkan 3 jenis bilik tetamu iaitu bilik superior, bilik deluxe triple dan bilik deluxe quadruple. Selain lengkap dengan keperluan asas, semua bilik tetamu ini mempunyai tab mandi. Tentu seronok, dapat berendam dalam tab mandi yang penuh dengan air panas selepas menikmati udara sejuk dan nyaman Cameron Highland.
Hotel ini mempunyai ruang santai untuk tetamu berkumpul dan berehat sambil menonton television atau bermain papan dart. Liputan Wifi dapat diakses di seluruh tempat dalam hotel ini. Terdapat juga ruang internet untuk tetamu membuat salinan dan mencetak dokumen.

- Harga – Dari RM 111 Semalaman.
- Alamat – Lot 25, Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
6. Hotel Remix

Hotel Remix ini terletak di tengah-tengah kawasan bandar Brinchang di Cameron Highlands. Ianya merupakan sebuah hotel bajet yang boleh dikatakan terbaik di Cameron Highland. Walaupun cuma 4 tingkat, tetapi hotel ini mempunyai lif. Jika anda datang ke Cameron dengan anak-anak kecil ataupun warga emas, tentu anda rasa lega dengan kemudahan lif ini.
Hotel Remix menawarkan tiga jenis bilik tetamu kepada tetamu iaitu bilik standard, bilik deluxe dan bilik keluarga yang mempunyai liputan Wi-Fi percuma. Bilik-bilik yang ditawarkan dilengkapi dengan TV Berskrin rata dan bilik mandi yang dilengkapi dengan pancuran air panas dan alat pengering rambut.
Tetamu yang menginap di hotel ini juga memberikan pujian terhadap servis yang diberikan. Air botol percuma disediakan setiap hari. Tuala dan set mandian juga diganti setiap hari. Perkhidmatan dobi juga ada disediakan atas permintaan. Jika anda ingin menempah pakej menarik di Cameron Highland sewaktu menginap di sini, staff di hotel juga akan membantu anda membuat tempahan.

- Harga – Dari RM 126 Semalaman.
- Alamat – Lot 12, Jalan Besar, 39100 Brinchang, Cameron Highlands, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
7. TULIP HOTEL & APARTMENT

Tulip Hotel & Apartment ni terletak jauh sedikit dari bandar Brinchang. Pada yang ada kenderaan sendiri memang tak bermasalah tinggal di sini. Ianya terletak berhampiran sebuah sungai dan dikelilingi dengan pemandangan bukit yang nyaman. Bayangkan bangun pagi dengan bunyi sungai dan kicauan burung yang mendamaikan.
Hotel ini sangat selesa dan berkonsep ringkas. Perabot yang digunakan kebanyakannya diperbuat dari kayu dan lantai pula mengunakan parket kayu dan marmar. Hotel ini juga mesra pengguna OKU jadi kemudahan seperti lantai tiada halangan, laluan kerusi roda dan lif bersaiz besar ada disediakan.
Tulip Hotel & Apartment menyediakan 3 jenis penginapan iaitu apartment, apartment penthouse dan apartment 3 bilik. Unit-unit yang disediakan sangat luas dan bersih. Pada yang sukakan suasana yang sunyi dan mendamaikan, hotel ini memang pilihan yang tepat.

- Harga – Dari RM 129 Semalaman.
- Alamat – NO.111B JALAN PECAH BATU BRINCHANG 39100 CAMERON HIGHLANDS, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
8. Hotel Double Stars Cameron Highlands

Hotel Double Stars ini terletak di Brinchang. Ianya sebuah hotel bajet tetapi perkhidmatan yang diberikan amat memuaskan. Hotel ini dibina dengan senibina Inggeris dan dihias dengan gabungan warna putih dan warna-warna ceria seperti kuning, oren dan hijau terang.
Hotel ini menyediakan 6 jenis penginapan iaitu bilik standard, bilik deluxe, suite keluarga, bilik keluarga, bilik triple dan Apartment 2 bilik tidur. Semua unit mempunyai TV skrin rata dengan saluran satelit dan cerek elektrik. Untuk keselesaan, peralatan mandian percuma dan alat pengering rambut juga disediakan.
Hotel ini mempunyai kaunter meja depan yang beroperasi 24 jam. Tetamu yang menginap di sini juga turut disediakan dengan bufet sarapan pagi percuma yang simple tetapi sedap. Terdapat juga kemudahan menyewa basikal dan kereta.

- Harga – Dari RM 134 Semalaman.
- Alamat – No. B3 – 23, Brinchang Square, Cameron Highlands, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
9. Ar Rayyan Hotel

Ar Rayyan Hotel ini adalah sebuah hotel bajet yang terletak di tanah rata. Ianya terletak di antara deretan rumah kedai dan mempunyai akses ke restoran-restoran, kedai-kedai, farmasi dan klinik berhampiran. Hotel ini dihias asas tetapi kemas dan bersih.
Hotel ini menawarkan tiga jenis bilik iaitu bilik deluxe queen, bilik deluxe king dan bilik keluarga. Semua bilik di sini adalah luas dan mempunyai liputan wifi. Bilik bilik yang ditawarkan lengkap dengan kemudahan asas dan bilik mandi pula dilengkapi dengan pancuran air panas.
Untuk tetamu muslimah, hotel ini menyediakan telekung untuk memudahkan urusan solat tetamu.

- Harga – Dari RM 150 Semalaman.
- Alamat -No 40, 1st Floor, Jalan Besar, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
10. Haji Saudi Hotel

Haji Saudi Hotel ini terletak di Brinchang Square. Ianya ialah sebuah hotel butik yang agak baru. Walaupun dari luar hotel ini kelihatan biasa-biasa sahaja, dalaman hotel ini agak mengagumkan. Hotel ini mengetengahkan elemen zen yang menggabungkan warna putih dengan elemen warna tanah. Penggunaan ruang yang ringkas dengan dinding dan lantai berasaskan kayu juga memberi keselesaan kepada tetamu.
Hotel ini menyediakan kemudahan yang patuh shariah kepada tetamu yang menginap, jadi bilik mandi disediakan hos untuk memudahkan tetamu mengambil wuduk. Penunjuk kiblat, sejadah dan ruang solat juga ada disediakan di setiap bilik. Bilik tetamu yang disediakan terdiri daripada bilik superior, bilik double, bilik triple, bilik deluxe dan bilik keluarga. Kesemua bilik mempunyai liputan wifi percuma. Jika anda ingin membuat kejutan untuk pasangan, staff di hotel ini sedia membantu anda merealisasikan projek kejutan anda. Menarik kan?
Hotel ini menyediakan tempat letak kereta. Jadi tetamu tidak perlu risau kena memarkir kereta jauh dari hotel. Untuk tetamu yang berasal dari Terengganu, ada diskaun khas diberikan kerana tuan punya hotel ini berasal dari Terengganu.

- Harga – Dari RM 158 Semalaman.
- Alamat – No. B1-13-G, Brinchang Square, Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
11. Hotel Jasmin

Hotel Jasmin ini terletak sederet dengan Hotel Remix dan Hotel Rainbow. Lokasinya terletak di berhampiran dengan medan selera dan bertentangan dengan restoran makanan segera KFC. Di sekeliling hotel pula terdapat kedai-kedai serbaneka, restoran, farmasi, klinik dan kedai dobi.
Hotel ini menawarkan 4 jenis bilik tetamu iaitu bilik standard, bilik triple, bilik quadruple dan suite keluarga. Semua bilik di sini mempunyai akses WIFI dan dilengkapi dengan set TV LCD bersatelit, pemanas air, sistem kad kunci eletronik, penggera pengesan asap dan sejadah. Bilik mandi pula dilengkapi dengan pancuran air panas, alat pengering rambut dan set mandian.
Hotel ini mempunyai kaunter meja depan yang beroperasi 24 jam, bilik tetamu juga dikemaskan secara harian dan tetamu juga diberikan dua botol air minuman percuma. Untuk tetamu yang tidak mahu terlepas berita harian, surat khabar percuma ada disediakan di lobi hotel untuk bacaan.

- Harga – Dari RM 170 Semalaman.
- Alamat – No 29 – 32 Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
12. Hotel Country Lodge

Hotel Country Lodge ini terletak di Brinchang. Bangunan hotel ini mempunyai senibina neo Tudor yang unik. Ianya merupakan hotel 2 bintang. Suasana di sekitar hotel ini juga agak cantik, pada yang gemar bergambar tentu mereka akan merasa seronok.
Hotel ini menawarkan menawarkan 5 jenis penginapan iaitu bilik standard, bilik deluxe, suite keluarga, apartment 2 bilik dan apartment 3 bilik. Unit-unit yang ditawarkan amat selesa dan mempunyai akses WiFi percuma. Setiap bilik adalah serba lengkap dan mempunyai TV skrin rata. Beberapa unit mempunyai ruang tamu dan ruang makan yang berasingan. Bilik mandi pula lengkap dengan peralatan mandian percuma dan pancuran mandian. Suite keluarga dan apartment mempunyai balkoni. Jadi yang menyewa suite dan apartment bolehlah bersantai di balkoni sambil menikmati teh panas.
Layanan yang diberikan amat memuaskan. Pekerja di kaunter meja depan akan membekalkan anda dengan peta Cameron Highland dan memberi cadangan tempat-tempat menarik di sekitar Cameron. Parking percuma disediakan untuk tetamu yang memandu. Perkhidmatan dobi juga ada disediakan atas permintaan.

- Harga – Dari RM 171 Semalaman.
- Alamat – Lot 47 Section 3, , 39100 Cameron Highlands, Malaysia
13. Planters Hotel

Planters Hotel adalah antara hotel yang tertua yang dibuka di Cameron Highland. Ianya terletak di Tanah Rata. Sebelum ianya bertukar tangan dan namanya ditukar menjadi Planters Hotel, ianya dikenali dengan nama Federal Hotel. Kini hotel ini merupakan hotel subsidiari kepada Bala’s Chalet.
Di bawah hotel ini ada sebuah restoran briyani yang enak dan restoran makanan barat. Restoran Stimbot Taman Abang yang popular juga ada berdekatan.
Hotel ini menawarkan 3 jenis bilik tetamu iaitu bilik deluxe, bilik double dan bilik keluarga. Bilik-bilik di sini dihias dengan menarik, dipasang dengan lampu lembut yang menimbulkan suasana romantik dan dilengkapi dengan kelengkapan perabot berelemen mewah dan klasik. Persekitaran hotel juga bersih dan selesa.
Pekerja hotel juga sangat ramah dan membantu. Hotel ini juga mempunyai khidmat meja depan yang beroperasi 24 dan khidmat meja tempahan lawatan jika anda mahu menempah lawatan dan aktiviti menarik untuk dilakukan di Cameron Highland.

- Harga – Dari RM 173 Semalaman.
- Alamat – 44-A Jalan Besar, , 39000 Cameron Highlands, Malaysia
14. Hotel Flora Plus

Hotel Flora Plus ialah sebuah hotel butik yang terletak di Brinchang. Ia menawarkan penginapan yang bertemakan bunga-bungaan. Hotel ini adalah antara hotel butik yang terkenal dikalangan pasangan yang mahu pengalaman yang romantik.
Hotel ini menawarkan 4 jenis bilik iaitu bilik queen, bilik deluxe, bilik keluarga dan suite keluarga. Bilik queen dan bilik deluxe selalunya dihias dengan hiasan romantik seperti tuala yang dilipat berbentuk angsa dan taburan kelopak bunga di atas katil. Jika anda mahu berbulan madu atau menyambut ulangtahun perkahwinan, pekerja di hotel ini sudi bekerjasama bagi merealisasikan kejutan tersebut.
Hiasan hotel ini memang unik dan cantik. Tetamu tentu gembira dan seronok bergambar di setiap sudut hotel. Ianya juga mempunyai akses WiFi percuma di seluruh premis. Parking percuma juga disediakan untuk tetamu yang memandu. Terdapat juga ruang makan untuk tetamu yang mahu menikmati makanan yang dibungkus dari luar. Hotel ini juga ada menyediakan bufet makanan bergril atas tempahan.

- Harga – Dari RM 188 Semalaman.
- Alamat – B3, 29-30 Brinchang Square Jalan Besar Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
15. Highlanders Hotel

Highlanders Hotel adalah sebuah hotel bajet yang terletak di tanah rata. Ianya betul-betul bersebelahan dengan Hotel BB Inn. Berbanding dengan Hotel BB Inn, Highlanders Hotel dihias dengan hiasan moden dan masih kelihatan baru. Kebanyakan perabot dan termasuk adalah berasaskan kayu.
Penginapan yang ditawarkan di hotel ini terdiri daripada bilik standard, bilik deluxe, bilik keluarga dan apartment 3 bilik. Bilik-bilik yang disediakan amat luas dan dihias kemas. Harga yang ditawarkan amat berpatutan dengan bilik yang disediakan. Untuk unit apartment, peralatan memasak disediakan dibahagian dapur untuk memudahkan urusan tetamu yang ingin memasak makanan sendiri. apatah lagi terdapat banyak sayur-sayuran dan makanan basah yang segar boleh didapati dengan harga yang murah di sini. Ruang makan juga ada disediakan.

- Harga – Dari RM 192 Semalaman.
- Alamat – 80 Persiaran Camelia 4, 39000 Tanah Rata, Malaysia
16. Copthorne Cameron Highlands

Copthorne Cameron Highlands adalah sebuah hotel bertaraf 4 bintang. Ianya terletak berhampiran dengan Kea Farm yang popular di kalangan pelancong yang datang ke Cameron Highlands. Hotel ini adalah antara hotel yang mempunyai pemandangan yang cantik di Cameron Highlands. Hotel ini asalnya adalah Hotel Equatorial yang telah bertukar tangan dan kini menjadi salah satu cabang Copthorne Hotel di Cameron Highlands. Sementara mengekalkan ciri seni bina Tudor pada exterior bangunan hotel ini, bahagian dalamanya telah diberi wajah baru dan dihias menepati status 4 bintang yang dipegang.
Hotel ini menawarkan 6 jenis penginapan iaitu bilik deluxe, bilik superior, suite executive, apartment satu bilik, apartment 2 bilik dan apartment 3 bilik. Semua unit dihias kemas tetapi mewah dan dilengkapi dengan semua jenis kelengkapan dan kemudahan.
Hotel ini mempunyai fasiliti seperti kolam renang dalaman yang berair panas, gimnasium, spa dan taman permainan kanak-kanak. Ianya juga mempunyai 4 buah premis makanan yang menghidangkan masakan Cina, Malaysia, Asia dan Antarabangsa. Terdapat juga sebuah lounge menayangkan program sukan secara langsung.

- Harga – Dari RM 200 Semalaman.
- Alamat – Kea Farm, Brinchang, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
17. Wan Alyasa Hotel

WAN ALYASA HOTEL terletak di Brinchang. Ianya merupakan hotel butik yang menarik. Luaran hotel ini menggabungkan seni bina tudor dengan seni bina tradisional Melayu. Terdapat juga beberapa kenderaan antik menghiasi ruang luar hotel. Dalaman hotel pula dihiasi dengan elemen vintage dan antik. namun begitu, hiasan dalamannya tidak sarat dan penggunaan ruang juga minimum.
Hotel ini menawarkan menawarkan 4 jenis bilik tetamu iaitu bilik standard, bilik deluxe, bilik king dan bilik keluarga. Setiap bilik mempunyai TV berskrin rata dengan satelit, cerek elektrik dan meja tulis. Bilik mandi pula menyediakan pancuran mandian dan peralatan mandian percuma.
Hotel ini mempunyai kaunter meja depan yang beroperasi 24 jam. Pekerja-pekerja di sini sangat sopan dan menghormati para tetamu. Jika waktu hujan, pekerja-pekerja di sini tidak keberatan meminjamkan payung kepada tetamu. Permintaan bantal dan tilam tambahan juga tidak dikenakan bayaran. Tetamu di sini juga dihidangkan dengan sarapan pagi percuma yang enak dan memuaskan. Terdapat juga surau untuk tetamu beragama islam bersolat. Tetamu yang pernah menetap di sini kebiasaanya akan ulang menetap di sini jika mereka kembali ke Cameron Highland.

- Harga – Dari RM 200 Semalaman.
- Alamat – No. 8 & 9 Brinchangs Square Brinchangs, 39100 Cameron Highlands, Malaysia
18. Heritage Hotel Cameron Highlands

Heritage Hotel Cameron Highlands merupakan sebuah hotel butik ala Tudor yang terletak di atas bukit yang dikelilingi dengan pemandangan Tanah Rata. Hotel ini dikelilingi hutan tropika dan mempunyai persekitaran yang mendamaikan.
Hotel ini menawarkan 4 jenis bilik tetamu iaitu bilik deluxe, bilik superior, bilik quadruple dan suite junior. Bilik-bilik di sini mempunyai balkoni persendirian dan akses WIFI. Ianya juga dilengkapi dengan TV LCD dengan saluran kabel dan filem-filem dalaman, pemain DVD, peti keselamatan, kemudahan membuat teh/kopi dan bar mini.
Hotel ini juga mempunyai fasiliti seperti perpustakaan, taman berlandskap, ruang santai, taman permainan kanak-kanak, 2 buah restoran iaitu Jasmine Garden Restaurant yang menyajikan masakan Cina dan Rainforest Restaurant yang menawarkan sajian bufet dan masakan panas tempatan, sebuah bar yang menawarkan snek dan minuman dan sebuah lounge untuk tetamu bersantai sambil menikmati teh dan pastri.

- Harga – Dari RM 210 Semalaman.
- Alamat – Jalan Gereja, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
19. Hotel Rosa Passadena

Hotel Rosa Passadena mendapat nama daripada bunga mawar. Ianya diilhamkan sempena pengisytiharan Cameron Highlands sebagai bandar bunga mawar pada tarikh 2 Oktober 1989 oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Hiasan di hotel ini juga banyak menggunakan elemen bunga ros.
Hotel Rosa Passadena menawarkan 3 jenis bilik tetamu iaitu bilik standard, bilik deluxe dan bilik superior. Semua bilik dilengkapi lantai berkarpet, TV berskrin rata, kemudahan membuat minuman panas, bar mini dan peti keselamatan peribadi. Bilik mandi pula dilengkapi denga tab mandi, pancuran mandian air panas dan kelengkapan mandian percuma.
Hotel ini mempunyai dua restoran iaitu Restoran Pines yang menyediakan masakan cina dan Restoran Ferns yang menawarkan makanan Barat dan tempatan. Bufet sarapan pagi percuma juga disediakan di Restoran Fern. Mengikut ulasan para tetamu, stimnbot yang disajikan di Restoran Fern ini amat enak dan murah.
Hotel ini juga mempunyai bilik karaoke untuk tetamu yang mahu mengasah bakat terpendam mereka dan tempat letak kereta. Kaunter meja depan beroperasi 24 jam, ruang santai dengan meja tenis untuk tetamu beriadah dan ruang simpanan bagasi juga disediakan. Pekhidmatan lain seperti dobi, penghantaran makanan ke bilik dan pengemasan harian. Jika tetamu mempunyai kecemasan berkaitan kesihatan, hotel ini juga menyediakan perkhidmatan house call untuk doktor datang ke hotel.

- Harga – Dari RM 221 Semalaman.
- Alamat – No.1, Bandar Baru Brinchang, 39100 Brinchang, Malaysia
20. Century Pines Resort Cameron Highlands

Century Pines Resort adalah sebuah hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di pekan Tanah Rata. Kepada anda yang mahukan suasana damai dan tenang, hotel ini ada jawapannya. Seperti kebanyakan hotel di Cameron Highlands, exterior hotel ini mempunyai elemen Tudor yang elegan, terdapat taman, kolam ikan dan mini air terjun dan pokok-pokok pine yang megah mengelilingi hotel ini/Hotel ini dekelilingi dengan pokok-pokok pine.
Hotel ini menawarkan 4 jenis bilik tetamu iaitu bilik deluxe, bilik superior, bilik pines dan suite. Setiap bilik dihias dengan gabungan elemen elegan, moden dan budaya tempatan. Ianya juga mempunyai balkoni yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan. Lantai bilik juga menggunakan parket kayu keras. Selipar percuma diberikan supaya tetamu tidak merasa sejuk sewaktu memijak lantai bilik. Bilik-bilik di tingkat bawah pula mempunyai taman khas dengan ruang santai. Kesemua bilik mempunyai bilik mandi yang lengkap dengan tab mandi dan pancuran air panas.
Hotel ini juga menyediakan fasiliti seperti restoran yang menyediakan bufet sarapan percuma dengan pilihan sajian tempatan dan antarabangsa, kedai serbaneka, gimnasium, spa dan tempat meletak kenderaan. Resort ini juga menyediakan perkhidmatan dobi dan cucian kering. Liputan WIFI percuma juga ada disediakan.

- Harga – Dari RM 233 Semalaman.
- Alamat – Lot 42 Jalan Masjid , 39000 Cameron Highlands, Malaysia
21. Avillion Cameron Highlands

Avillion Cameron Highlands adalah salah satu cabang Hotel Avillion yang memang terkenal dengan perkhidmatan hotel yang moden dan elegan. Hotel ini baru sahaja dibuka pada tahun 2018. ianya juga terletak bersambung dengan pusat membeli belah di yang baru dibuka di Tanah Rata.
Hotel di sini menawar 4 jenis penginapan iaitu studio deluxe, studio superior, suite dua bilik dan suite premium dua bilik. Setiap unit ini lengkap dengan kelengkapan dan dihias dengan citarasa moden dan classy. Bilik-bilik yang ditawarkan juga sangat luas dan selesa. Ruang makan dan ruang dapur lengkap dengan kelengkapan memasak dan pekakasan dapur. Terdapat juga balkoni untuk tetamu yang mahu bersantai menikmati pemandangan Cameron Highland. Bilik mandi pula mempunyai pancuran air panas dan set mandian.
Hotel ini mempunyai kaunter meja depan yang beroperasi 24 jam. Sarapan ringan percuma juga disajikan di restoran kepunyaan hotel yang dihias dengan elemen kontemporari. Untuk tetamu yang mahu bersantai, terdapat juga bar/lounge ultra moden terletak berhampiran dengan lobi. Pelbagai minuman panas, mocktail, smoothies, pastry dan makanan ringan disajikan di sini. Terdapat juga taman permainan kanak-kanak dan gimnasium disediakan.

- Harga – Dari RM 250 Semalaman.
- Alamat – C-3, Jalan Camelia, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
22. Strawberry Park Resort

Strawberry Park Resort adalah salah satu hotel bertaraf 4 bintang yang terdapat di Cameron Highland. Apa yang menarik tentang hotel ini, ianya terletak berhampiran dengan Mossy Forest yang memang terkenal di Cameron Highland.
Hotel ini menawarkan 3 jenis penginapan mewah iaitu studio, suite deluxe dan suite keluarga. Kesemua unit dilengkapi dengan lantai parket, mempunyai balkoni, peti keselamatan elektronik, TV satelit berskrin rata dan perabot. Kemudahan membuat teh/kopi dan peti sejuk juga disediakan. Bilik mandi pula lengkap dengan tab mandi, alat pengering rambut, pancuran mandi dan peralatan mandian percuma.
Strawberry Park Resort mempunyai 7 pilihan tempat makan, sarapan kontinental dihidangkan setiap hari di restoran Brasserie’85. Restoran Strawberry Court Thai menyajikan masakan Thai yang lazat. The Garden Terrace menawarkan makanan laut yang segar serta daging salai. Minuman pula disediakan di Lobby Bar. Salah sebuah kafe di hotel ini diberikan nama Jim Thompson. Jim Thompson ialah seorang bekas perisikan Amerika yang kemudiannya bertukar profesion menjadi pedagang sutera. Beliau bercuti di Cameron Highland dan bersiar-siar di hutan dan tidak pernah kembali. Walaupun terdapat pencarian besar-besaran, tidak ada jejak Thompson yang pernah ditemui.
Fasiliti lain yang disediakan di hotel ini adalah kolam renang dalaman, taman permainan kanak-kanak, kedai cenderamata, gelanggang skuash serta tempat letak kenderaan percuma. Ia juga menyediakan perkhidmatan simpanan bagasi dan dobi. Jika anda mahu memanjakan diri, anda boleh menikmati rawatan urutan dan berendam di tab mandi panas di spa yang bertemakan kontemporari Bali.

- Harga – Dari RM 265 Semalaman.
- Alamat – Lot 195 & 196, 39000 Tanah Rata, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
23. Hotel De’ La Ferns, Cameron Highlands

Hotel De’La Ferns mendapat nama dari paku pakis yang banyak terdapat dikeliling Cameron Highlands. Ianya terletak di antara Tanah Rata dan Brinchang. Ianya diuruskan oleh pihak yang sama menguruskan Hotel Rosa Passadena. Exterior hotel ini bertemakan seni bina Inggeris Tudor yang digabungkan dengan sentuhan kemodenan.
Hotel ini menawarkan 6 jenis bilik tetamu iaitu bilik deluxe double, bilik deluxe triple, bilik deluxe triple, suite junior, suite keluarga dan suite pangsapuri. Semua unit lengkap mempunyai balkoni dan lengkap dengan kemudahan asas seperti TV satelit, peti deposit elektronik, set membuat minuman panas, seterika, papan seterika, selipar, rak kasut, rak baju dan bar mini. Bilik mandi pula dilengkapi dengan tab mandi, kemudahan pancuran mandi air panas dan pengering rambut.
Hotel De’ La Ferns mempunyai kaunter meja depan yang beropersi 24 jam. Selain membantu urusan keluar masuk dan menyelesaikan masalah tetamu, kaunter ini turut menawarkan perkhidmatan seperti faks dan fotostat. tetamu yang memandu boleh meletakkan kereta di premis ini dengan percuma. Akses WIFI juga ada disediakan. Fasiliti lain adalah seperti ruang santai, laluan berjoging dan lobi.
Apa yang menarik tentang hotel ini, setiap tetamu yang menginap bukan sahaja diberikan sarapan percuma, malah mereka turut dapat hidangan makan malam stimbot percuma. Restoran Ferns adalah restoran utama di hotel ini, ia juga merupakan lokasi di mana bufet sarapan dan makan malam stimbot disediakan. Bufet sarapan pagi menyajikan hidangan tempatan dan barat manakala stimbot pula datang dengan hidangan daging segar, makanan laut dan sayur-sayuran segar yang dicelup dalam pelbagai jenis sup panas dan sos yang sedap.
Tetamu juga boleh menikmati teh Inggeris dengan scone dan pai epal dihidangkan di Patio. Patio adalah tempat makan alternatif yang bertemakan al fresco untuk tetamu yang benar-benar menghargai udara segar Cameron Highlands.

- Harga – Dari RM 284 Semalaman.
- Alamat – Batu 39, Jalan Besar, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
24. ATS Cameron Hotel

ATS Cameron Hotel ini adalah sebuah hotel yang baru. Ianya terletak di atas Pusat Membeli Belah Cameron Fair. Lokasinya sangat strategik dan hiasan dalamannya juga cantik.
Hotel ini menawarkan 2 jenis penginapan iaitu studio dan apartment. Semua unit di hotel ini mempunyai balkoni, ruang makan dan dapur yang lengkap dengan pekakas memasak, cerek elektrik, peti ais dan peralatan makanan seperti pinggan mangkuk dan sudu. Bilik mandi pula dilengkapi dengan pancuran air panas, alat pengering rambut dan set mandian percuma. Tuala yang diberikan disini dilipat dengan betuk itik yang sangat comel.
Jika anda mahu memberi kejutan pada pasangan anda, pekerja hotel di sini amat akan membantu anda merealisasikan rancangan anda. Mereka akan menghias bilik hotel dengan kelopak bunga bagi mewujudkan suasana romantik.
Hotel ini juga mempunyai kafe ATS Cameron Fresh yang terletak di tingkat satu. Pada yang datang dengan keluarga, terdapat juga taman permainan kanak-kanak. Yang paling penting, oleh kerana ianya terletak di atas pusat membeli belah, tetamu boleh membeli belah tanpa perlu keluar dari kawasan hotel.

- Harga – Dari RM 296 Semalaman.
- Alamat – C-1-35,Cameron Fair, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
25. The Smokehouse Hotel & Restaurant Cameron Highlands

Terletak di antara Pekan Tanah Rata dan Brinchang, The Smokehouse menawarkan penginapan rumah kotej gaya Inggeris dengan pemandangan taman yang cantik dan mendamaikan. Hotel yang bertemakan Gaya Inggeris Tudor ini dibina pada tahun 1939 adalah antara hotel tertua di Cameron Highlands. Ciri-ciri kolonial pada hiasan dalamannya sangat terserlah. Terdapat banyak sofa dan pendiangan terletak di sekitar ruang dalam hotel, manakala bahagian luar dikelilingi taman yang cantik.
Hotel ini menawarkan 3 jenis penginapan bilik deluxe, suite dan suite keluarga. Setiap suite dihias dengan gabungan perabot kontemporari dan antik. Kelengkapan seperti alat membuat teh/kopi dan TV ada disediakan. Bilik mandi pula dilengkapi dengan tab mandi dan menyediakan peralatan mandian serta alat pengering rambut.
Tarikan utama hotel ini adalah restorannya. Untuk sarapan pagi, tetamu boleh menikmati sarapan tradisional Inggeris percuma yang dihidangkan di kawasan konservatori dan lounge. Sarapan terdiri daripada teh ataupun kopi, scone, crim dan jem strawberi.
Restoran hotel ini juga menyediakan makan malam barat yang enak. Hidangan popular ialah beef wellington, yorkshire pudding dan t-bone steak yang enak. Terdapat juga bar untuk tetamu bersantai sambil menikmati minuman yang menyegarkan.

- Harga – Dari RM 378 Semalaman.
- Alamat – By The Golf Course, 39000 Cameron Highlands, Malaysia
Macam mana? Ada hotel yang berkenan di hati anda? Jika masih mahu mencari sehingga berjumpa yang betul-betul idaman hati, boleh sahaja terus ke laman web Booking.com. Cameron Highland memang tempat yang menyeronokkan untuk dilawati. Pilihan tempat penginapan yang tepat dapat menambahkan lagi keseronokan lawatan anda.
Kembali to bagasi.my