tempat menarik di melaka

30 Tempat Menarik Yang Wajib Dikunjungi di Melaka

Tempat Menarik di Melaka (Malacca), Malaysia.

Jika anda berniat mahu berkunjung ke Melaka dan tidak tahu nak bermula dari mana, kami telah senaraikan 30 tempat menarik di Malacca untuk anda kunjungi. Tarikan di Melaka ini tidak terhad pada tempat bersejarah sahaja, jadi jangan risau. Terdapat pelbagai tempat menarik disediakan untuk anda. Pilihlah yang mana anda berkenan untuk dimasukkan ke dalam itinerari anda. Anda boleh juga melayari 21 Hotel di Malacca Untuk Percutian Anda Sekeluarga jika anda sedang cari tempat penginapan di Melaka.

30 Tempat Menarik Yang Wajib Dikunjungi di Melaka 1
Pilihan #1

Sewa Kereta?

Tempah sewa kereta dan mula perjalanan dengan mudah!

Check Harga

Melaka (Malacca) adalah lokasi paling bersejarah dan antara destinasi pelancongan paling top di Malaysia. Empayar Melaka satu masa dulu amat megah dan makmur sebelum kejatuhannya ke tangan Portugis. Melaka satu-satunya negeri yang dijajah Portugis, Belanda, Jepun dan British. Negeri ini menjadi rebutan kerana lokasinya yang strategik untuk aktiviti perdagangan.

Justeru itu, Melaka sangat kaya dengan tinggalan sejarah silam dan mempunyai campuran budaya yang amat unik seperti komuniti Serani yang berasal dari Portugis dan Baba Nyoya yang berasal dari Cina Peranakan.

Apa yang lebih membanggakan, negeri bersejarah ni telahpun diisytiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO. 

1. Kota A Famosa

a famosa
Sumber: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi

Kota A Famosa ialah mercu tanda paling popular di Melaka. Lawatan anda ke Melaka tidak lengkap jika anda tidak melawat kota yang popular ini. Kota ini mengingatkan kita tentang saat pertama kali tanah Melaka akhirnya dijajah oleh penjajah dari Eropah.

Kota ini merupakan senibina Eropah yang tertua di Asia Tenggara. Mengikut sejarah, ianya didirikan oleh penjajah Portugis sebagai kubu pertahanan mereka di Melaka. Kota ini dibina oleh Alfonso de Albuquerqe pada tahun 1511 sebagai pusat pentadbiran Portugis selepas berjaya merampas Melaka. 

Binaan asal kota ini besar. Ianya turut menempatkan sebuah hospital, 5 gereja dan beberapa menara. Namun kebanyakkannya telah diruntuhkan. Apa yang tinggal hanyalah Porta de Santiago, iaitu sebuah gate house yang kecil masih teguh berdiri.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat – Jalan Parameswara, Bandar Hilir, Alor Gajah, 78000 Melaka

Selanjutnya tentang Kota A Famosa

2. The Stadthuys

Stadthuys
sumber: Elizabeth Lisa John

The Stadthuys juga merupakan salah satu daripada monumen simbolik negeri Melaka. Lokasi ini memang tidak pernah putus daripada dikunjungi oleh pelancong yang mahu bergambar dengan berlatarbelakangkan bangunan berwarnakan merah bata yang unik ini.

Setelah berjaya merampas Melaka dari tangan Portugis, Belanda membina The Stadhuys sebagai pusat pentadbiran kerajaan Belanda di Melaka. Bangunan ini didirikan pada tahun 1660. Ianya dipercayai sebagai bangunan kerajaan belanda yang tertua di Asia Tenggara. Terdapat sebuah gereja christian bersebelahan bangunan ini yang juga turut berwarna merah bata.

Pada masa ini, bangunan ini telah diubah suai menjadi Kompleks Muzium Melaka yang mempamerkan sejarah Melaka, dan sejarah penjajahan Portugis, Belanda dan British. 

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 5 | Kanak Kanak RM 2
  • Waktu Operasi – Isnin – Khamis: 9.00 A.M – 7.00 P.M | Jumaat – Ahad: 9.00 A.M – 20.30 P.M
  • Alamat – Jalan Gereja, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang The Stadthuys

3. Gereja St. Paul

Gereja St. Paul
Sumber: Justin Paramanandan

Gereja St. Paul ini adalah bangunan gereja tertua di Malaysia dan di Asia Tenggara. Ianya dibina pada tahun 1521 oleh seorang bangsawan Portugis bernama Duarte Coelho. 27 tahun selepas Duarte Coelho membina gereja, Don Albuquerque, Uskup Agung Goa menyerahkan pengurusan gereja kepada St. Francis Xavier, iaitu salah seorang perintis mubaligh kristian Katolik di Asia Tenggara. 

Patung marmar St. Francis Xavier telah didirikan pada tahun 1952 bagi memperingati ulang tahun ke 400 beliau tinggal di Melaka. Apa yang menariknya, sehari selepas patung ini didirikan, dahan pokok yang besar telah jatuh dibahagian lengan kanan patung dan menyebabkan lengan itu terpisah dari badan. Kebetulan semasa hidupnya, St. Francis Xaviar telah kehilangan tangan kanan beliau. Patung itu dibiarkan tanpa lengan kanan sehingga kini.

Gereja ini terletak di puncak Bukit St. Paul. Kini gereja ini adalah sebahagian daripada Kompleks Muzium Melaka yang juga terdiri daripada runtuhan A Famosa, The Stadthuys dan bangunan bersejarah lain.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat – Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka, Malaysia.

Selanjutnya tentang Gereja St. Paul

4. Jonker Walk

Jonker Walk
Sumber: Katja Hasselkus

Jonker Walk adalah tempat membeli belah yang paling popular di Bandar Melaka. Setiap hujung minggu, kawasan ini memang sesak dengan lautan manusia yang mencari cenderamata dan hidangan makanan jalanan yang sedap-sedap untuk dinikmati. 

Jonker Walk ini kelihatan seperti mana-mana pasar malam di Malaysia, tetapi apa yang menyebabkan ia unik dan lain dari yang lain adalah jualannya. Terdapat pelbagai jenis dan variasi jualan dari hasil kraft, barangan cenderamata, barangan unik, baju, aksesori, makanan ringan dan snek tempatan, minuman dan macam-macam lagi. Yang datang ke sini pasti rambang mata melihat segala jenis jualan yang dijual dengan harga yang murah dan berpatutan. 

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – Malam Minggu: 6.00 P.M – 12.00 A.M
  • Alamat – Jalan Hang Jebat, 75200 Melaka

Selanjutnya tentang Jonker Walk

4. Muzium Warisan Baba & Nyonya

Baba Nyonya Heritage Museum
sumber: The Baba & Nyonya Heritage Museum FB

Muzium Warisan Baba Nyonya ini dibuka pada tahun 1985. Ianya mempamerkan sejarah dan budaya kaum cina peranakan di Negeri Melaka. Muzium ini merupakan gabungan 3 unit lot teres yang dimiliki keluarga Baba dan Nyonya yang bernama keluarga Chan.

Keluarga Chan adalah pedagang China yang telah berasimilasi dengan budaya tempatan dan menetap di Melaka atas tujuan perdagangan. Mereka telah tinggal di sini ini sejak tahun 1861. Rumah ini telah didiami 4 generasi sebelum dijadikan muzium pada tahun 1985. Masih banyak ciri-ciri dan perabot asal rumah ini yang masih dipelihara seperti keadaan asal. Pada sesiapa yang berminat untuk belajar tentang budaya kaum peranakan ini, jangan lepaskan peluang untuk melawat.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 15 | Kanak Kanak RM 10
  • Waktu Operasi – Isnin – Khamis: 10.00 A.M – 1.00 P.M / 2.00 P.M – 5.00 P.M | Jumaat – Ahad: 10.00 A.M – 1.00 P.M/ 2.00 P.M – 6.00 P.M
  • Alamat – No. 48 & 50, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka

Selanjutnya tentang Muzium Warisan Baba & Nyonya

5. Muzium Kesultanan Melayu Melaka

muzium kesultanan melayu melaka
Sumber: Perbadanan Muzium Melaka

Bila belajar tentang sejarah Melaka di sekolah dulu. Mesti kita terfikir, bagaimana agaknya Melaka pada zaman gemilang kesultanannya. Di Muzium Kesultanan Melayu Melaka, anda dapat mempelajari tentang kehidupan harian dan adat istiadat Kesultanan Melayu Melaka pada zaman tersebut.

Bangunan Istana ini merupakan replika sebenar istana Kesultanan Melayu Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mansur Syah. Elemen tradisi Melayu Melaka dapat dilihat dari reka bentuk bangunan, ukiran dan susun aturnya. Apabila anda melangkah masuk ke dalam istana ini, anda akan merasakan seperti anda telah dibawa ke zaman silam. 

Istana ini mempunyai 3 tingkat dan 8 ruang pameran. Setiap ruang pameran mempunyai tema tersendiri contohnya seperti diorama Balairong Seri, diorang pertarungan Tuah dan Jebat dan banyak lagi. Terdapat lebih daripada 1300 barangan bersejarah Melaka seperti pakaian tradision, aksesori perhiasan raja, senjata dan tembikar  dipamerkan di muzium ini.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 3 | Kanak Kanak RM 2
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 5.30 P.M
  • Alamat – Jalan Kota, 75000 Melaka, Malaysia

Selanjutnya tentang Muzium Kesultanan Melayu Melaka

6. Menara Taming Sari

menara taming sari
Sumber: Sham Hardy

Menara Taming Sari adalah menara gyro pertama di Malaysia. Ianya dibuka pada tahun 2008.  Pada yang tidak tahu, menara gyro adalah menara yang mempunyai platform pemerhatian yang berputar 360° dari bawah ke atas secara menegak. Platform menara ini bergerak turun naik dalam masa 7 minit setiap sesi.

Menara ini mempunyai ketinggian 110 meter. Platform pemerhatiannya boleh memuat 66 orang dalam satu masa. Pengunjung akan dihidangkan dengan pemandangan Bukit St. Paul, Dataran Pahlawan, Sungai Melaka dan Selat Melaka dari udara. Ketinggian maksima platform adalah 80 meter. 

Menara Taming Sari mendapat nama dari keris pahlawan Melayu lagenda, Hang Tuah. yang terkenal.menara itu dinamakan sempena Taming Sari keris, senjata mitos yang dikatakan mempunyai kekuatan mistis yang dimiliki oleh pahlawan Melayu yang legendaris, Hang Tuah. Malah reka bentuk struktur mengikut bentuk keris, dengan puncak menara menyerupai kepalanya.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 17 | Kanak Kanak RM 11
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 10.00 A.M – 11.00 P.M
  • Alamat – Jalan Merdeka Banda Hilir, 75000 Melaka, Malaysia.

Selanjutnya tentang Menara Taming Sari

7. Zoo Melaka

zoo melaka
Sumber: Mohd Fazlin Mohd Effendy Ooi

Pada yang datang ke Melaka dengan keluarga. Zoo Melaka ini tempat yang sesuai untuk anda lawati. Ianya merupakan Zoo kedua terbesar di Malaysia dan menempatkan lebih daripada 1200 haiwan dari 215 spesies yang berbeza.

Tarikan utama di Zoo Melaka ini adalah Badak Sumatera dan Gajah Kecil Asia. Kedua-dua spesies adalah dalam kategori hampir pupus. Spesies-spesies lain yang turut menjadi tarikan pengunjung adalah seperti kuda liar, harimau Malaya dan sebagainya.

Suasana di dalam zoo adalah nyaman. Terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan ditanam bagi mewujudkan suasana kawasan hidupan liar di hutan hujan tropika yang sebenar. Ia juga mempunyai dua waktu operasi iaitu waktu siang dan malam. Kawasan zoo ini juga agak luas, jadi kemudahan seperti tram ada disediakan dengan harga serendah RM 6.00

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 16.90 | Kanak Kanak RM 6.75
  • Waktu Operasi – (Zoo Siang) Setiap Hari: 8.30 A.M – 5.30 P.M | (Safari Malam) Jumaat, Sabtu, Cuti Awam Dan Cuti Sekolah: 8.00 P.M – 11.00 P.M
  • Alamat – Jalan Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, 75450 Melaka

Selanjutnya tentang Zoo Melaka

8. Muzium Samudera

muzium samudera
Perbadanan Muzium Melaka

Muzium Samudera ini terletak tidak jauh dari The Stadhuys. Ianya merupakan sebuah replika kapal Portugis bernama Flor de la Mar (bunga lautan) yang karam di tengah perjalanan ketika membawa hasil rampasan dari Melaka ke Portugis. . Replika ini berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan 8 meter lebar.

Fokus utama muzium ini ialah memaparkan sejarah laut negeri Melaka dan zaman kegemilangan Melaka sebagai empayar maritim yang menjadi pusat pertemuan pedagang-pedagang dari Timur dan Barat berurusniaga. Ia juga menyingkap pergolakan politik maritim di Melaka yang membuktikan bahawa hilangnya kuasa politik maka hilanglah segalanya.

Selain sejarah maritim Melaka, peminat kapal juga berpeluang menambahkan ilmu di sini. Terdapat banyak model-model dan fungsi kapal yang dipamerkan di sini. 

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM 5 | Kanak Kanak RM 3
  • Waktu Operasi – Isnin – Khamis: 9.00 A.M – 5.30 P.M | Jumaat – Ahad: 9.00 A.M – 7.00 P.M
  • Alamat – Jalan Quayside, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Muzium Samudera

9. Pantai Klebang

Pantai Klebang
Sumber: Chongkian

Pantai Klebang adalah salah satu pantai yang paling terkenal di Melaka. Ianya merupakan pantai buatan yang direka menyerupai bentuk sebuah lagoon. Pantai Klebang juga mempunyai lokasi unik seperti kawasan padang pasir yang agak popular dan menjadi tumpuan para pengunjung untuk bergambar. Selain daripada menikmati angin pantai, ianya juga menawarkan dua lagi tarikan di lokasi yang sama iaitu Dataran Klebang dan Bustel.

Dataran Klebang adalah kawasan lapang yang menyediakan fasiliti untuk keluarga beriadah dan bersantai. Terdapat juga air pancut untuk kanak-kanak bermain. Pantai Klebang ini tidak sesuai untuk melakukan aktiviti air. Jadi kanak-kanak yang mahu bermain air selalunya akan bermain di Dataran Klebang. Ramai juga yang bermain layang-layang dan kereta alat kawalan jauh.

Bustel Melaka pula ialah hotel unik yang terdiri daripada 40 bas lama yang telah diubahsuai menjadi hotel yang lengkap dengan fasiliti asas. Setiap Bustel boleh memuatkan 4 orang dewasa dalam satu masa. Selain Bustel, terdapat juga bas -bas lain yang diubah suai menjadi gerai makanan. 

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – Pantai Klebang: 24 Jam | Dataran Klebang: 12.00 P.M – 12.00 A.M
  • Alamat – Pantai Klebang, Melaka

Selanjutnya tentang Pantai Klebang

10. Masjid Selat

masjid Selat
Sumber: -ARING-

Masjid Selat ini terletak di pulau buatan manusia bernama Pulau Melaka. Ianya dibuka kepada semua pelancong tanpa mengira agama. Terdapat kain dan penutup kepala disediakan kepada bukan Islam yang mahu melawat kawasan sekitar masjid.

Masjid ini diilhamkan dari senibina masjid terapung di Jeddah. Walaubagaimanapun ianya tidaklah sepenuhnya menggunakan elemen timur tengah, terdapat juga elemen melayu seperti hiasan yang dibuat daripada buluh dan ukiran kayu digabungkan dalam senibinanya.

Pada waktu air pasang, masjid ini kelihatan seperti terapung di atas laut. Tiang masjid ini bukan sahaja berfungsi sebagai penyokong stuktur masjid, ianya juga menjadi lampu isyarat buat bot dan kapal laut yang melalui selat Melaka pada waktu malam. Menaranya pula mempunyai rekaan unik sementara tingkap kacanya terukir dengan motif-motif Islam.  Pemandangan matahari terbenam dari masjid ini amat cantik dan mengagumkan.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat – Masjid Selat, Pulau Melaka, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Masjid Selat

11. Masjid Kampung Kling

Masjid Kampung Kling
Sumber: Vmenkov

Negeri Melaka penuh dengan monumen bersejarah. Salah satu daripada monumen tersebut adalah Masjid Kampung Kling. Ianya telah  diisytiharkan sebagai monumen bersejarah pada tahun 1999. 

Masjid ini dibina pada tahun 1748. Masjid unik ini menggabungkan pengaruh timur dan barat pada senibinanya. Kubah masjidnya pula berbentuk seperti pagoda. Hiasan dalamannya pula merangkumi Inggeris, Portugis, Corinthia, Hindu, Cina, dan Melayu.

Lokasi masjid ini berhampiran dengan Kuil Sri Poyatha Moorhi dan Kuil Cheng Hoon Teng. Jalan di mana ketiga-tiganya berada digelar Jalan Harmoni yang melambangkan keharmonian pelbagai bangsa dan agama.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat – Jalan Tukang Emas, 75200 Melaka

Selanjutnya tentang Masjid Kampung Kling

12. Melaka Wonderland Theme Park & Resort

melaka wonderland
Sumber: Melaka Wonderland

Melaka Wonderland Theme Park & Resort adalah  taman tema air yang terletak di Ayer Keroh Melaka. Tempat ini memang sesuai untuk seisi keluarga terutamanya kanak-kanak. Terdapat sebanyak 12 tarikan yang unik seperti Lazy Cum Crazy Pool, Tornado chaser, Kamikaze Racer, 1 Big Wave Pool dan Adventure Island.

Taman tema ini juga dikelilingi hutan semulajadi yang berkeluasan 360 hektar. Selepas puas bermain air, anda bolehlah bersiar-siar sambil menikmati suasana hutan.

  • Bayaran Masuk – [Dewasa] Hari Bekerja: RM 36 / Hujung Minggu: RM 40.50 | [Kanak-Kanak] Hari Bekerja: RM 29 / Hujung Minggu: RM 34 | [Warga Emas] Hari Bekerja & Hujung Minggu: RM 22.50
  • Waktu Operasi – Selasa – Jumaat: 11.00 A.M – 7.00 P.M | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah, Cuti Awam: 10.00 A.M – 7.00 P.M
  • Alamat – Lot PT 17178, Lebuh Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, 75450 Ayer Keroh, Melaka, Malaysia.

Selanjutnya tentang Melaka Wonderland Theme Park & Resort

13. Penempatan Portugis (Lisbon Mini)

portuguese settlement
Sumber: Muzium Warisan Penempatan Portugis

Penempatan Portugis atau dikenali sebagai ‘Mini Lisbon’ merupakan tempat tinggal bagi komuniti Serani di Melaka. Komuniti Serani dikatakan berasal dari perkahwinan campur  bangsa portugis dengan kaum India di Goa yang menetap dan berasimilasi dengan kaum Melayu di Melaka. Goa juga merupakan tanah jajahan portogis selain Melaka. 

Penempatan ini adalah nadi masyarakat Serani Melaka. Terdapat medan selera, gereja dan muzium di penempatan ini. Masyarakat Serani beragama Katolik dan menyambut perayaan Krismas. Jadi suasana penempatan ini memeang meriah menjelang Krismas. 

Selain itu terdapat juga persembahan tarian dan muzik Portugis diadakan untuk menarik pelancong untuk datang. Tetapi, walaupun pada hari apabila tiada sebarang persembahan, tempat ini tetap menarik untuk dilawati serta makan dan minum sambil melihat matahari terbenam di Selat Melaka.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat – Jalan Daranjo, Perkampungan Portugis, 75050 Melaka, Malaysia

Selanjutnya tentang Penempatan Portugis (Lisbon Mini)

14. The Shore Sky Tower

The Shore Sky Tower
Sumber: Sky Tower The Shore Melaka

 The Shore Sky Tower adalah bangunan tertinggi di bandar Melaka. ianya mempunyai ketinggian sebanyak 43 tingkat. Tingkat atas bangunan ini menawarkan pemandangan sehingga 50 kilometer ke setiap arah. Anda dapat melihat keseluruhan bandar Melaka dari sini. 

Di atas bumbung bangunan ini terdapat  sebuah sky deck untuk yang mahu merasai pengalaman berjalan di atas kaca lutsinar dengan pemandangan bandar yang membuat anda seolah-olah sedang terapung.Terdapat juga beberapa teleskop disediakan untuk memdahkan anda melihat pemandangan Kota Melaka dengan lebih jelas. Selain itu, anda juga dapat melihat akuarium penuh dengan ikan koi dan menjamu selera di kafe sambil menikmati pemandangan sekitar. Klik sini untuk senarai hotel di Malaysia.

The Shore Sky Tower ini sesuai dikunjungi pada waktu malam. Lampu-lampu dari bangunan- bangunan di sekeliling membuatkan pemandangan bertambah cantik dan memukau.

  • Bayaran Masuk – Dewasa: RM 25 | Kanak-Kanak: RM18
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 10.30 A.M – 9.00 P.M
  • Alamat – Tower 1, 42 & 43F, The Shore Shopping Gallery, 193, Pinggiran @ Sungai Melaka, Jalan Persisiran Bunga Raya, 75100 Melaka Tengah, Malaysia

Selanjutnya tentang The Shore Sky Tower

15. Taman Rama-Rama & Reptilia

taman rama rama & Reptilia
Sumber: Butterflyreptile FB

Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka ini telah beropersai selama lebih 27 tahun. Ianya menempatkan lebih daripada 20 spesies rama-rama di samping haiwan reptilia dan beberapa spesies lain untuk tatapan pengunjung. 

Taman ini dibina di atas tanah berkeluasan 11 ekar.  Ianya dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu taman rama-rama, taman reptilia, taman ikan koi dan tempat bergambar. Anda boleh mengambil peluang untuk merakamkan gambar beratus rama-rama yang cantik, antaranya ialah dari species Rajah Brooke dan Malayan Birdwing.

Selain rama-rama anda juga dapat mendekati haiwan reptilia seperti ular dari pelbagai species yang turut terdapat di taman ini. Sesudah itu, anda boleh merehatkan minda dengan melihat beratus ikan koi berenang-renang di dalam kolam.

  • Bayaran Masuk – Dewasa: RM 22 | Kanak-Kanak: RM16
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 8.30 A.M – 5.30 P.M
  • Alamat – Lebuh Ayer Keroh, 75450 Melaka, Malaysia

Selanjutnya tentang Taman Rama-Rama & Reptilia

16. The Shore Oceanarium

The Shore Oceanarium
Sumber: Oceanarium Melaka

Selain dari Sky Tower, The Shore ada lagi satu tempat menarik untuk dikunjungi. Terletak di aras 2 pusat beli-belah, terdapat sebuah oceanarium yang pastinya menjadi tarikan kepada kanak-kanak. 

Di sini, pengunnjung berpeluang mengenali pelbagai spesies haiwan laut dan habitat mereka. Malah mereka juga diberi peluang memegang beberapa jenis haiwan seperti ikan yu, kuda laut, tapak sulaiman dan macam0macam lagi yang diletakkan di dalam Touch Pool.

Selain Touch Pool, terdapat juga bahagian-bahagian menarik yang lain turut ditawarkan. Contoh nya Zon Interaktif.  Zon ini mempunyai “Magical Vacuum Aquarium/MVA Aquarium” yang mana pengunjung perlu memakai kaca mata 3D untuk melihat  pokok-pokok bakau, hutan dan pelbagai jenis ikan yang seolah-olah wujud benar di hadapan mata. Terdapat juga wayang gambar 3D untuk ditonton.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM33 | Kanak-Kanak RM23.50 | Warga Emas RM23.50
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 10.30 A.M – 9.00 P.M
  • Alamat – 2F-01, The Shore Shopping Gallery,193, Pinggiran @ Sungai Melaka,Jalan Persisiran Bunga Raya, 75100 Melaka

Selanjutnya tentang The Shore Oceanarium

17. Villa Sentosa

villa sentosa
Sumber: Michael Coghlan

Villa Sentosa atau dikenali sebagai “The Malay Living Museum” merupakan contoh rumah kampung tradisional Melayu yang terletak di Kampung Morten. Lokasi villa ini berhampiran dengan lokasi tapak Warisan Dunia UNESCO bersejarah Melaka. Walaupun bandar Melaka telah berkembang pesat dalam dekad yang lalu, Villa Sentosa masih dipelihara dengan baik bagi mengekalkan seni bina tradisionalnya.

Rumah Melayu yang dijadikan muzium kecil ini memberikan gambaran kepada pengunjung akan cara hidup keluarga Melayu di Melaka. Rumah ini terdiri daripada lima kawasan yang mengelilingi ruang halaman terbuka. Reka bentuk rumah ini membantu mengekalkan suasana yang nyaman dan selesa. 

Ruang dalam rumah ini dipenuhi dengan perabot antik, barangan lama di atas meja dan gambar-gambar klasik. Gambar, seramik daripada Dinasti Ming, dan Al-Quran lama adalah antara barang-barang yang dipamerkan kepada anda.

  • Bayaran Masuk – Percuma (Tetapi Sumbangan Amat Digalakkan)
  • Waktu Operasi – Sabtu – Khamis: 9.00 A.M – 6.00 P.M | Jumaat 2.00 P.M – 6.00 P.M
  • Alamat – Lorong Tun Mamat 1, Kampung Morten, 75300 Melaka

Selanjutnya tentang Villa Sentosa

18. Galeri Rumah Terbalik Melaka

Upside down House Melaka
Sumber: Upside Down House Melaka FB

Bagaimana agaknya kalau tiba-tiba bumi kita ini terbalik atas dan bawah? Kalau nak tahu bagaimana rasanya, Upside Down House adalah tempat terbaik untuk menghabiskan masa anda dengan ahli keluarga anda. Di sini, anda boleh mengambil semua jenis gambar kreatif dalam keadaan terbalik. Pada yang kaki instagram tu, tempat ini memang khas untuk anda.

Di sini anda akan merasai satu pengalaman unik di mana kedudukan perabot dan barangan di dalam rumah berada dalam keadaan terbalik. Benda yang sepatutnya ada kat lantai, dilekatkannya di siling, dan begitulah sebaliknya. Terdapat lima ruang iaitu dapur, ruang tamu, bilik tidur utama, bilik tidur kanak-kanak dan bilik air, kesemua perabot dan kelengkapan rumah diletakkan dalam keadaan terbalik. Pada yang cepat pening tu, boleh ambil masa untuk biasakan diri. 

 Di sini, cabaran adalah lebih kepada kreativiti dalam mengambil gambar di setiap sudut dalam galeri.Kalau tiada idea untuk bergambar, jangan risau kerana staf di sini akan membantu anda dan memberi cadangan teknik-teknik untuk menghasilkan gambar yang mantap. 

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM15 | Kanak-Kanak RM10
  • Waktu Operasi – Isnin- Khamis: 9.00 A.M – 7.00 P.M | Jumaat – Ahad 9.00 A.M – 9.00 P.M
  • Alamat -Jalan PM7, Plaza Mahkota, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Galeri Rumah Terbalik Melaka

19. Galeri Cheng Ho

cheng ho gallery
Sumber: Perbadanan Muzium Melaka

Pada yang tidak tahu, Laksamana Cheng Ho adalah seorang laksamana dari tanah China yang juga pengiring kepada Puteri Hang Li Po yang dijodohkan dengan Sultan Melaka pada zaman kegemilangan Melaka. Beliau dilahirkan pada 1371 di Hodai, sebuah kampung di Yunan.

Cheng Ho juga merupakan seorang pelayar yang terkenal. Galeri ini memaparkan kisah pelayaran beliau ke lautan selatan di samping kejayaan beliau memupuk perhubungan persaudaraan di antara China dan negara-negara Afrika dan Asia. Antara bahan pamerannya adalah bahan porselin, replika kapal, koleksi buku yang menceritakan riwayat beliau dan artikel-artikel yang berkaitan.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM2
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 5.30 P.M
  • Alamat -Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Galeri Cheng Ho

20. Masjid Kampung Hulu

Masjid Kampung Hulu
Sumber: Chongkian

Masjid Kampung Hulu dibina sejak tahun 1728, ianya merupakan masjid ketiga tertua di Malaysia. Meskipun sudah berusia lebih daripada 280 tahun, ia masih digunakan sehingga hari ini.
Senibina masjid ini mempunyai gabungan elemen dari negara China dan jawa, malah jubin seramik dan mimbar datang daripada Dinasti Ching. Dindingnya pula dikatakan diperbuat daripada campuran pasir, putih telur dan granit. Selain itu, menaranya yang kelihatan seperti rumah api dan pagoda menjadikan ia lebih menarik.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – 24 Jam
  • Alamat -Jalan Kampung Hulu, 75200 Melaka

Selanjutnya tentang Masjid Kampung Hulu

21. Melaka Alive

Melaka Alive
Sumber: Melaka alive FB

Melaka Alive adalah sebuah tarikan baru di Melaka. Ia membawakan kepada anda pengalaman unik tentang negeri Melaka dengan menggabungkan unsur-unsur teater dan sejarah dengan teknologi canggih yang menghasilkan simulasi ribut dan ombak. Tarikan yang ditawarkan termasuk teater kesan khas, pertunjukan bersejarah serta seni dan kraf Malaysia.
Terdapat 3 teater kesan khas yang ditawarkan iaitu “Pirate Adventure”, “The Wind of Merdeka” dan “The Sultanate Palace”. Petas teater yang digunakan menyerupai rekaan bangunan seperti kapal Bahtera Merdeka. Apabila menonton lakonan penggiat seni di sini, terasa seolah-olah sedang belayar di lautan lebih-lebih lagi apabila anda perlu memakai baju hujan sekiranya duduk di bahagian hadapan yang dipanggil “wet area”.

  • Bayaran Masuk -Dewasa RM23 | Kanak-Kanak RM17 | Warga Emas RM17
  • Waktu Operasi – Rabu – Isnin: 10.00 A.M – 7.00 P.M | Jumaat: 10.00 A.M – 12.30 P.M & 2.00 P.M – 7.00 P.M
  • Alamat -Melaka Alive, Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Melaka Alive

22. Melaka River Cruise

Melaka River Cruise
Sumber: Melaka River Cruise FB

Melaka River Cruise adalah sebuah alternatif untuk anda yang mahu menikmati keindahan Bandar Melaka tanpa dihantui kesesakan lalulintas. Dengan menaiki cruise, anda dapat bersiar-siar di sepanjang Sungai Melaka sambil menikmati pemandangan bangunan-bangunan warisan, gudang-gudang lama, gereja, grafiti dan juga kawasan perkampungan.
Cruise ini bermula di jeti Muara. Dari jeti Muara, anda akan dibawa sehingga ke jeti Taman Rempah dan berpatah balik ke jeti Muara. River Cruise bukan sahaja beroperasi pada waktu siang. Ia juga beroperasi pada waktu malam. Pemandangan malam adalah lebih cantik kerana sepanjang sungai dilimpahi dengan cahaya lampu berwarna-warni yang memukau.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM25 | Kanak-Kanak RM15
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 11.30 P.M
  • Alamat – Melaka River Cruise Boarding Port, Jalan Tun Mutahir, 75300 Melaka

Selanjutnya tentang Melaka River Cruise

23. Muzium Kapal Selam

Muzium Kapal Selam
Sumber: Perbadanan Muzium Melaka

Terletak berdekatan dengan Pantai Klebang, Muzium Kapal selam ini mempamerkan kapal selam yang bernama FS Ouessant Agosta 7. Kapal ini digunakan untuk tujuan latihan oleh kru TLDM. Kapal ini asalnya kepunyaan Tentera Laut Perancis dan telah dibeli oleh kerajaan Malaysia. Ianya diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka secara rasmi pada 4 Mac 2012 dan dijadikan sebuah muzium.
Pelawat diberikan akses untuk meneroka bahagian dalam kapal selam. Sepertimana yang biasanya ditayangkan di wayang gambar, bahagian dalaman kapal selam adalah agak sempit. Ianya boleh menempatkan 25 orang dalam satu masa. Jika anda pernah bercita-cita mahu menjadi anak kapal, inilah masanya untuk merealisasikan impian anda.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM2
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 5.30 P.M
  • Alamat – Muzium Maritim, Pantai Berlian, Klebang, Melaka

Selanjutnya tentang Muzium Kapal Selam

24. Rumah Orang Utan

orang utan house
Sumber: THE ORANGUTAN HOUSE FB

The Orang Utan House dibuka pada tahun 1992. Ianya merupakan sebuah studio peribadi dan galeri seni kepunyaan pelukis tempatan bernama Charles Cham. Dari luar, anda dapat melihat lukisan Orang Utan yang terpapar besar ditepi bangunan ini. Lukisan ini seolah-olah menjemput anda masuk untuk melihat karya hasil tuannya.
Charles Cham adalah sebuah pelukis terkenal yang berjaya mempamerkan karya lukisannya di pentas antarabangsa di Negara seperti, Portugal, Switzerland, Singapore, Australia dan Hong Kong. Lukisannya lebih cenderung kepada gaya primitive dengan rona warna-warni manakala rekaan t-shirt lebih kepada haiwan astrologi China. Galeri ini mempamerkan hasil lukisan pelukis ini dan juga menjual barangan cenderamata seperti kemeja-T.

  • Bayaran Masuk – Percuma
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 10.00 A.M – 6.00 P.M
  • Alamat – No.59 Lorong Hang Jebat, 75200 Melaka

Selanjutnya tentang Rumah Orang Utan

25. Kolam Air Panas Jasin

Jasin Hot Spring
Sumber: AIR PANAS JASIN Melaka FB

Kolam air panas yang terletak di Jasin ini telah berusia lebih dari 120 tahun. Kalau anda mahukan tempat untuk bersantai dan merehatkan badan sambil berendam di dalam air panas, memang tempat ini sesuai untuk tujuan tersebut.
Selain berendam di dalam air panas, terdapat juga tarikan lain seperti tempat permainan kanak-kanak dengan pelbagai mainan air. Air panas di sini mempunyai mineral yang bukan sahaja boleh menyegarkan tubuh. Ia juga dapat mencantikkan dan mengembalikan keremajaan kulit anda.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM6.50 | Kanak-Kanak RM3.50
  • Waktu Operasi – Isnin :3.00 P.M – 12.00 A.M | Jumaat – Sabtu: 9.00 A.M – 2.00 A.M | Selasa -Khamis/Ahad: 9.00 A.M – 12.00 P.M
  • Alamat – Kg Air Panas, Bemban, Melaka

Selanjutnya tentang Kolam Air Panas Jasin

26. Muzium Sejarah dan Etnografi

muzium sejarah dan etnografi
Sumber: Michael Coghlan

Muzium Sejarah dan Etnografi terletak di dalam bangunan kolonial Stadthuys. Muzium ini terbahagi kepada 2 tingkat. Tingkat pertama muzium ini mempamerkan sejarah negeri Melaka, dari awal tahun 1400 hingga tahun 1957 ketika Malaysia mencapai kemerdekaan. Tingkat ke dua pula dikhaskan untuk seksyen etnografi yang memberi peluang kepada pelawat tentang kepelbagaian budaya, tradisi dan kehidupan seharian komuniti-komuniti yang terdapat di Melaka seperti komuniti Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Portugis dan masyarakat Chetti.
Antara koleksi barangan yang dipamerkan adalah pekakas dan alatan yang digunakan dalam sesebuah majlis perkahwinan dahulu kala, peralatan muzik klasik, koleksi barangan porselin purba, senjata, matawang dan banyak lagi.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM2
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 5.30 P.M
  • Alamat – Jalan Kota, Bandar Hilir, 75000 Melaka

Selanjutnya tentang Muzium Sejarah dan Etnografi

27. Taman Burung Melaka

Taman burung Melaka
Sumber: Melaka Bird Park FB

Taman burung Melaka adalah taman aviari terbuka pertama di Melaka dan merupakan taman burung terbesar di Asia. Ianya terletak di Ayer Keroh. Taman burung ini merupakan rumah kepada kira kira 700 spesies burung dari dalam dan luar negara.
Di taman ini, anda dapat melihat burung berterbangan dengan bebas dan jika bernasib baik, anda mungkin berpeluang untuk bermain dan memberi makan burung tersebut. Terdapat 4 buah menara tinjau di sini. Pada yang tidak larat memanjat, lif juga ada disediakan. Taman ini juga lengkap dengan fasiliti seperti restoran kedai cenderamata, tandas, bilik sembahyang, taman permainan kanak-kanak.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM17.80 | Kanak-Kanak RM11.85
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 6.00 P.M
  • Alamat – Melaka Bird Park, Taman Botanikal, Lebuh Ayer Keroh 75450, Melaka

Selanjutnya tentang Taman Burung Melaka

28. Taman Buaya Melaka

Taman Buaya Melaka
Sumber: Taman Buaya & Rekreasi Melaka

Taman Buaya Melaka mula dibuka pada tahun 1987. Ianya merupakan rumah kepada lebih 100 spesies buaya. Antara spesis buaya yang terdapat di sini adalah America Alligator, Buaya Marsh Mugger India, Buaya Cayman dan lain-lain lagi. Buaya-buaya di sini ditempatkan di dalam sangkar khas yang menyerupai habitat asal masing -masing. Jika anda ingin menyaksikan pertunjukan buaya, ia hanya diadakan pada waktu tertentu sahaja iaitu pada hujung minggu dan waktu cuti sekolah dan cuti am.
Selain melihat buaya, terdapat juga tarikan-tarikan lain seperti Malaysia in Miniature, Reptile Corner, Walkthrough Aviary, Water Playground dan Mammal House. Kanak-kanak pasti seronok kalau dapat bermain air di Water Playground. Manakala Malaysia In Maniature mempunyai 13 replika bangunan utama dan bersejarah di malaysia seperti bangunan Tugu Negara, A’Famosa, Stadhuys, Jambatan Pulau Pinang dan Litar F1 Sepang.

  • Bayaran Masuk -Dewasa RM18 | Kanak-Kanak RM13
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 6.00 P.M
  • Alamat – Pusat Pelancongan Ayer Keroh, Lebuh Ayer Keroh, 75450 Melaka

Selanjutnya tentang Taman Buaya Melaka

29. Bayou Lagoon Park Resort

Bayou Lagoon Park Resort
Sumber: Bayou Lagoon

Bayou Lagoon Park merupakan sebuah tempat peranginan pelbagai fungsi. Ianya mempunyai unit pangsapuri, taman tema air dan pusat membeli belah di dalam satu tempat. Apa yang menariknya, taman tema air di kawasan ni adalah terbuka kepada orang awam. Maksudnya jika anda tidak menginap di unit pangsapuri resort ini pun, anda masih boleh bermandi manda di sini. Janji anda membeli tiket masuk.
Taman tema air di sini sesuai untuk anak-anak kecil. Gelungsur air yang disediakan sesuai untuk pelbagai peringkat usia, dewasa dan kanak-kanak tidak kira had umur. Anda sekeluarga boleh menikmati keseronokkan bersama-sama.
Selain Taman tema air, ada juga tarikan lain seperti 9D Theatre yang menyajikan penonton dengan teater digital nafas baru yang lengkap dengan kelengkapan blasters laser dan cermin mata 3D, 3D Magic Art Museum dengan 55 lukisan dinding dan 2 tema iaitu Angkor Wat & Mesir untuk anda bergambar sepuas-puasnya dan pusat aktiviti memanah untuk anda yang sukakan permainan tersebut.

  • Bayaran Masuk – Dewasa RM28| Kanak-Kanak RM20
  • Waktu Operasi – Isnin – Jumaat: 9.00 A.M – 7.00 P.M | Hujung Minggu, Cuti Sekolah & Cuti Umum: 8.00 A.M – 7.00 P.M
  • Alamat – Bayou Lagoon Park Resort, Jalan Wakaf Utama, Bukit Katil, 75450 Melaka

Selanjutnya tentang Bayou Lagoon Resort Park

30. Melaka Skytrex

Skytrex Melaka
Sumber: Skytrex Adventure FB

Bagi yang meminati aktiviti sukan lasak, SkyTrex memang tidak perlu diperkenalkan lagi. SkyTrex telah membuka cawangannya di Melaka. Pada yang duduk di sekitar Melaka, bolehlah anda melakukan aktiviti dan cabaran – cabaran yang pasti mencabar fizikal dan mental anda. Terdapat tiga tahap kesukaran yang ditawarkan, untuk tahap termudah ianya sesuai untuk kanak-kanak dan peserta yang baru mula berjinak dengan aktiviti sukan ini.
Dengan berkonsepkan ‘sky-trekking’, anda boleh merasai pengalaman ‘terbang’ ataupun meluncur dari satu pokok ke pokok lain melalui aktiviti yang disediakan. Jika anda mahu pengalaman yang lebih ekstrem, anda juga boleh berbasikal menyeberangi laluan bertali dari pokok ke pokok. Selain daripada itu, di kawasan ini juga ada fasiliti seperti tempat berkhemah, kawasan piknik dan bermacam-macam lagi.

  • Bayaran Masuk – Little Dino (Beginner): RM60 | Pahlawan Thrill (Intermediate): RM70 | Extreme Warrior (Advanced): RM80
  • Waktu Operasi – Setiap Hari: 9.00 A.M – 3.00 P.M
  • Alamat – Taman Botani, Durian Tunggal, 75450 Melaka

Selanjutnya tentang SkyTrex Melaka

Sebenarnya masih banyak lagi tempat menarik yang terdapat di Melaka. Tapi kami cuma memuatkan 30 tempat yang paling popular di sana berdasarkan carian, rating dan tempat yang paling banyak menerima recommendation. 

Harap-harap dengan senarai ini, kami dapat memudahkan kerja anda untuk menyusun program percutian anda ke Melaka. Jika anda datang bersama keluarga dan mahukan cadangan tentang hotel menarik, artikel kami Hotel di Melaka mungkin dapat membantu anda.

Similar Posts